Ahad, 28 Oktober 2012

BENARKAH ALLAH TIDAK BERTEMPAT?

 
Manusia telah dicipta oleh Allah dengan sebaik-baik ciptaan. Oleh itu, mereka wajib mengenal dan mengetahui di mana Allah.  Pengetahuan ini akan membuat seseorang itu menghadapkan dirinya, hatinya, doanya, sembahyangnya dan seluruh ibadahnya kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan sebenar-benarnya.
            
Orang-orang yang tidak tahu di mana Tuhan mereka berada akan tersesat atau kesasaran kerana mereka tidak tahu ke mana sewajarnya mereka menghadapkan segala permohonan, penyerahan atau penumpuan ibadahnya.
            
Terdapat banyak keterangan yang berpandukan kepada khabar dari langit yang dipersetujui oleh para ulama Salaf as-Soleh tanpa khilaf bahawa wahyu itu turun dari langit, ini menunjukkan bahawa yang pemberi wahyu itu (Allah)"bertempat", iaitu Dia berada di langit dan bersemayam di atas 'ArasyNya.
 
           
Selain dari ayat-ayat al-Quran di atas yang telah menjelaskan hakikat sebenarnya di mana Allah, maka dalam hadith-hadith sahih terdapat banyak keterangan yang menunjukkan bahawa Allah itu di langit.  Sebahagian besar ahli bid'ah, oleh kerana tidak mempunyai ilmu dan kononnya tidak mahu menserupakan Allah dengan makhlukNya lantaran kejahilan mereka, lantas memutuskan dengan akal fikiran dan hawa nafsunya bahawa Allah tidak bertempat, kerana menurut mereka kalaulah Allah bertempat pasti Ia berjisim dan menurut tafsiran mereka berjisim adalah sifat makhluk atau menyerupai makhluk.
 
Semua pendapat atau kepercayaan yang sebegini adalah mungkar, batil dan menyeleweng, ia jelas amat bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sahih yang menjelaskan bahawa Allah itu di langit.  Antara hadith-hadith yang dimaksudkan ialah:
 
قَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : رَبُّنَا الَّذِيْ فِى السَّمَآءِ تَقَدَّسَ اسْمُكَ ، اَمْرُكَ فِى السَّمَاءِ وَالاَرْضِ كَمَا رَحْمَتُكَ فِى السَّمَاءِ اِجْعَلْ رَحْمَتَكَ فِى اْلاَرْضِ اِغْفِرْلَنَا حُوْبَنَا وَخَطَايَانَا اَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِيْنَ اَنْزِلْ رَحْمَةً مِنْ رَحْمَتِكَ وَشِفَاءً مِنْ شِفَاءِ كَ عَلَى الْوَجَعِ.
 
"Ya Tuhan kami!  Tuhan yang di langit Engkau mensucikan namaMu (juga) urusanMu yang di langit dan di bumi.  Sebagaimana halnya rahmatMu di langit itu, maka jadikanlah pula rahmatMu itu di bumi.  Ampunilah dosa-dosa dan kesalahan kami. Turunkanlah suatu rahmat dari antara rahmatMu dan suatu kesembuhan dari kesembuhan yang datang dariMu atas penyakit ini, hingga benar-benar sembuh".
 
عَنِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اَلْعَرْشُ فَوْقَ الْمَاءِ وَاللهُ فَوْقَ الْعَرْشِ لاَ يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ مِنْ اَعْمَالِكُمْ . وَفِى الرِّوَايَةِ : وَهُوَ يَعْلَمُ مَا اَنْتُمْ عَلَيْهِ.
 
"Dari Ibn Mas'oud radiallahu 'anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:  'Arasy itu berada di atas air dan Allah berada di atas 'Arasy. Tidak satupun dari amal kamu yang tersembunyi dari pengetahuanNya.  Dan pada riwayat yang lain:  Dia Mengetahui apa yang kamu kerjakan".
 
اَلاَ تَامِنُوْنِيْ وَاَنَا اَمِيْنٌ مَنْ فِى السَّمَآءِ.
 
"Tidakkah kamu mahu percaya kepada aku sedangkan aku di percayai oleh Yang di langit (Allah yang di langit)"
 
 
 
            Pengertian ayat (فِى السَّمَآءِ) "Di langit" pada ayat ini ialah (عَلَى السَّمَآءِ) "Di atas langit" bukan meliputi semua langit sebagaimana yang dapat difahami penjelasannya dari hadith Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:
 
اِنَّ اللهَ كَتَبَ كِتَابًا فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ.
 
"Sesungguhnya Allah Menulis segala ketentuan yang berada di sisiNya di atas 'Arasy"
 
                Hadith di atas menjelaskan bahawa Allah berada di atas ‘ArasyNya bukan meliputi Arasy atau langit.  Hadith ini semaksud malah diperkuat oleh firman Allah Subhanahu wa-Ta'ala:  
اَلرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى.
 
"Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas 'Arasy". Taha, 20:5
 
Ayat di atas ini dengan terang menjelaskan bahawa Allah di atas ‘Arasy bukan meliputi ‘Arasy atau meliputi seluruh langit.
                
Di ayat yang lain Allah berfirman:
ثُمَّ اسْتَوَى اِلَى السَّمَآءِ.
 
"Dan Dia berkehendak menuju langit".  Al-Baqarah, 2:29.
 
Ayat ini jelas menerangkan bahawa Allah menuju langit dan Dia berada di atas langit yang menunjukkan keTinggianNya.  Menurut al-Baghawi rahimahullahdalam tafsirnya yang dinukil dari qaul Ibn Abbas radiallahu ‘anhuma dan ramai lagi para mufassir salaf, bahawa apabila memperkatakan tentang perkara tersebut (di mana Allah) mereka hanya berpegang pada lahir lafaz "Istawa" (استوى)“bersemayan di atas ‘Arasy dan ArasyNya di langit”  iaitu menyerahkan kepada ilmu Allah bagaimananya keTinggian Allah 'Azza wa-Jalla yang sebenarnya.
 
 
Perlu diketahui bahawa Allah mempunyai zat, perkataan yang seerti dengan kalimah “Zat” ialah “Jisim” Namun, zat atau jisim Allah Yang Maha Esa, Maha Agung, Maha Sempurna dan paling Kamil tidak menyerupai zat atau jisim makhlukNya, kerana Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menegaskan dengan firmanNya:
 
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ
 “Tiada sesuatu yang menyerupaiNya”.
 
وَلَمْ يَكُنْ لَه كُفُوًا اَحَدٌ
 “Dan tidak ada seseorangpun yang setara denganNya”.  Al-Ikhlas, 112:4.
 
 
 

2 ulasan:

  1. salam... cantik blog nih... tahniah... ilmu yang bagus... (^__^)

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum...blog cikgu sangat menarik..boleh masukkan banyak info lagi supaya lebih menarik

    BalasPadam